Saturday, August 4, 2012

IRKHSS

Tahun 2 bermula di CFS IIUM setelah melalui liku-liku nostalgia sebelumnya yang memperkenalkan saya pada 'Taman Ilmu'. Bila sudah lama di sini, terasa sudah sebati dengan hirup-pikuk Petaling Jaya dan igauan gerombolan gagak. Agak kecil bagi sebuah institusi pengajian namun di tempat kecil inilah saya mengenal diri. Kenal diri bukan hanya di hadapan kilauan cermin tapi menghargai kehidupan yang singkat ini.

"Apa sumbanganku terhadap 'Taman Ilmu' tercinta ni? Cukupkah sekdar '3k'... katil, kafetaria dan kelas." Sekitar monolog sendirian. Terlebih penting agama yang diselarikan dalam aliran darah hanyut ditafsir ritual semata-mata. Ketukan dakwah tidak dirasai. Sekadar menjadi hawa telinga.

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ‌ وَيَأْمُرُ‌ونَ بِالْمَعْرُ‌وفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ‌ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
'Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang munkar, dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. Ali Imran 3:104

"Tibala saat yang dinanti-natikan. Setelah kiraan undi dibuat, keputusan majoriti menunjukan Muhammad Nabil Fikri Bin Mhd Zain.dipilih sebagai presiden persatuan pada tahun ini. Dijemput memberi ucapan," umum pihak penganjur. Jantung berdegup kencang mengimbangi gemuruh dan bebanan yang terasa. Mengimbau kembali Annual Grand Meeting yang menjadi acara tahunan setiap ABS. Hanya beberapa muka saja yang dicam dalam suasana dewan. Permulaan langkah menyahut seruan dakwah. Entah bagaimana, yang mengambil borangnya ramai, namun yang bertanding cukup memenuhi syarat bilangan biro yang ada.

"Ana cadang kita jemput Ustaz Azhar Idrus," ujar Fikri. Insan yang bertubuh tinggi lampai ini biasanya bersifat happy go lucky namun sentiasa dengan idea-idea yang mengejutkan. Teguh menyokong sebagai Vice President 2. Dia jugalah yang mencadangkan kami menjual roti canai ketika bazar Ramadhan yang difikirkan agak janggal dengan jadual sebagai pelajar. Tebaran roti canai itulah yang menjadi asas ukhuwah kami. Ya, ukhuwah roti canai.

Saya tidak kesendirian sebagai 'orang tua' dalam persatuan. Ikhwan, Arif, Ismanadjwa, Ain dan Syafiah antara pelajar tahun 2 bersama-sama dalam organisasi. Ikhwan, Arif, Ismanadjwa dan majoriti yang lain pemastautin dari Kedah. Munkin sebab itulah mesyuarat kami kebiasaannya terdengar seperti sembang kedai kopi Kedah. Renyuh dibibuatnya. 'Orang-orang lama' ini banyak membantu dari segenap aspek walaupun masing-masing dihimpit lambakan assingment.

"Ana rasa kita kena selesaikan pembahagian AJK dulu,". ujar Aina, seorang yang cukup sistematik dan pemikirannya tersusun tidak terawan-awan. "Oloh, wak mudoh-mudoh jah," sampuk Afif dalam loghat Kelantannya. Pekat loghatnya dan simple minded. Watak yang sentiasa menceriakan suasana. "Ana setuju dengan Aina tadi." ujar Basyirah pula yang kelihatan agak serius tapi sangat professional dalam gerak kerja. Entah mengapa, sedondong dan seiringan, Basyirah dan Aina biasanya duduk sebelah-menyebelah.

"Antala jadi PM, Presiden nampak rilek je," ujar Fahmi sinis mengelak dari mengelak menjadi PM rehlah hasil cadangan saya. Insan yang menetap antara Kedah dan Perak ni sentiasa tersenyum dan komited. "Maaf, lambat ckit," mesej yang sampai sekiranya beliau akan lambat. Malah, dialah antara yang istiqamah membawa buku nota, suatu yang menyenangkan hati pengendali mesyuarat. Pada tahun ini, Syahmi yang menguruskan urusan SMAC, sukan tahunan kampus. Bergegas ke sana sini gelisah. Kadang-kadang runsing dibuatnya. Ternyata kegelisahannya membuahkan hasil. Pengurusan yang baik bersama Basyirah mengumpul nama dan membentuk organisasi patut dipuji lebih-lebih lagi pulangan pingat dalam banyak acara.

"Asyikin, enti ada pandangan?" Saya menyoal. Kebiasannya berbalas gelengan atau anggukan. Jarang sekali mendengar suaranya. 'Diam-diam ubi berisi'. Kesungguhan melaksanakan program ditunjukkan walaupun bukan dari cadangannya. Betul. Sesetengah orang bersifat idealistik, sesetengahnya lagi amilin yang baik. Tanpa keduanya, organisasi terbantut. Seorang lagi yang menjadi pelaksana yang baik ialah Aisyah. Teringat ketika dia berjaya meyiapkan flyers dengan kretivitinya.

Ketika bulan Ramadhan, satu majlis berbuka dianjur khusus buat penerbangan Farah Aisyah ke Jordan. Musafir kembara ilmu. "Ana banyak belajar daripada entum". Antara ucapannya. Gusar hati mencarikan pengganti yang selayaknya. Alhamdulillah. Berkat usaha, Hanan, seorang hafizah DQ dibawa masuk. Sarat dengan pengalaman. Walaupun agak lewat bersama, tapi dia tidak kelihatan kekok malah sangat membantu ketika yang lain buntu.

Permata yang pulang dari bumi anbiya' Mesir. Luqman ditaklifkan sebagai bendahari. Entah mengapa, hati merasakan bahawa dia terlebih layak menyandang presiden persatuan. Sifat matang dan keperibadiannya boleh dijadikan contoh. Biasa saja datang berjubah dan kadang-kadang berserban ke mesyuarat. Seorang lagi watak yang istimewa, Nasrullah. Sudah terbiasa dengan watak 'sempoinya'. Lontaran idea yang kreatif sangat menarik walaupun kadang-kadang dipandang pelik, dia tidak kisah.

Memorial ini tidak mampu diungkap sepenuhnya dengan perkataan. Hanya yang mengambil iktibar sahaja yang merasai. Asam garam bersama menerajui IRKHSS.

5/8/2012, bilik persendirian, Pasir Mas.